Perjalanan dari Mahkamah Jalan Duta menuju ke Penjara Sungai Buloh mengambil masa kira-kira 45 minit. Seingat aku ada lebih 20 orang tahanan yang dimasukkan ke dalam Black Maria, ke semuanya sudah dihadapkan ke mahkamah. Ada di antara mereka yang baru ditahan, ada yang hanya disambung reman dan ada juga yang telah dijatuhkan hukuman.
Dan ketika trak polis tersebut melalui kawalan keselamatan, sedarlah kami bahawa kami sudah sampai ke destinasi yang baru. PENJARA SUNGAI BULOH..
Hati mana yang tidak gentar apabila ketika kami dibawa keluar dari trak polis, benda pertama yang kami pandang ialah tembok batu kelabu yang cukup tinggi. Boleh dikatakan setinggi 100 meter atau lebih. Berlatarbelakangkan gunung-ganang nyata menunjukkan kawasan penjara ini dibina jauh dari kawasan penduduk awam.
Aku dan Syahruldeen bergerak dalam keadaan tangan yang masih bergari memasuki pintu besi yang kecil. Kami disuruh untuk duduk dengan kasar sebelum pemeriksaan keselamatan dilakukan. Setelah dicatat kehadiran dan bilangan semuanya maka kami diarahkan untuk masuk ke pintu utama menuju ke kawasan penjara. Hanya 2 pintu inilah satu-satunya jalan untuk keluar masuk bagi setiap banduan sama ada yang akan dibawa ke mahkamah atau yang bakal dibebaskan.
?Tak sangka yer kita sampai ke penjara ni?. Tak pernah aku terfikir aku akan masuk ke dalam penjara,? berseloroh aku kepada Syahruldeen. Sekadar hendak bergurau walaupun aku tahu perkara ini bukan gurauan sebenarnya.
Tatkala pintu laluan kedua dibuka, kami melihat kawasan yang sangat luas umpama kawasan padang rumput yang menghijau. Memang cukup luas didalamnya. Terdapat juga beberapa blok penempatan yang besar di sekitar kawasan tersebut yang kami percaya tempat semua banduan dikurung selama berada di sana. Perasaan takut, gerun, ngeri, seram dan bermacam-macam lagi perasaan timbul ketika memikirkan suasana tempat kurungan banduan tersebut.
?Buka baju dan beratur!!!? bentak Unit Keselamatan Penjara (UTK).
?BODOH KORANG NI!!!,TAKKAN BENDA NI PUN NAK AJAR!!! BANGANG!!!? tengkingnya lagi. Bagi mereka tiada rasa hormat yang perlu diberi kepada setiap banduan yang ada di sini.
Beraturlah kami sepanjang koridor blok pentadbiran dan rekod. Setiap keluar dan masuk wajib dicatat dan bagi mana-mana tahanan baru akan direkod semua dokumen peribadinya.
? Mohamad Izzuddin Hilmi!!!,? Berderau jantungku apabila namaku dipanggil.
?0309 4242? Ni nombor kau. Kalau kau masuk penjara lagi lepas ni, tak kisahlah 10 ke atau 20 tahun lagi pun masih guna nombor ni. Simpan baik-baik.? Arah pegawai penjara kepadaku.
Nombor ini macam ?berhantu?. Harapnya aku tak akan masuk lagi ke sini dan memang tidak mahu lagi masuk ke sini.
Bagi setiap pendatang baru ke panjara ini, perkara yang wajib dilakukan ialah rambut akan di mesin pendek. Tidak akan ada sebarang kompromi bagi sesiapa yang ingin menyimpan rambut mereka. Puas juga aku minta agar aku tidak di?botak?kan kerana kami hanya satu malam sahaja di sini, namun tidak dilayan. Hampir botak rambutku dibuatnya.
Beberapa perkakas diberikan bagi setiap banduan yang datang ke sini. Sepasang baju penjara berwarna unggu bagi tahanan reman, tilam nipis berserta sarung, blanket nipis sebagai selimut, sabun (dibuat dari kelapa sawit), cawan minum dan gayung untuk mandian.
Melalui fasa ke 2 pemeriksaan keselamatan juga terasa cukup menyusahkan. Setiap barang dan pakaian yang ada pada badan akan ditanggalkan dan diperiksa. Malah setiap tahanan juga wajib melalui mesin scan (seperti yang terdapat di lapangan terbang) bagi memastikan setiap tahanan tidak membawa sebarang senjata berbahaya.
Setelah selesai semua proses tersebut, kami dibawa ke bilik tahanan bersama perkakas yang telah diberikan. Kami terpaksa berjalan berkaki ayam di atas tar yang panas menuju ke sana. Nampak dari jauh kelibat banduan-banduan yang lain berlegar-legar dan melakukan aktiviti sendiri. Tersentuh hati kami melihat kehidupan mereka secara ?live?. Memang tidak sangka, kami diberi peluang oleh Allah untuk hidup bersama-sama mereka di sini walaupun untuk satu malam.
Kawasan penjara yang dibina pada tahun 1996 ini memang cukup luas. Terdapat lebih kurang 8 blok penempatan tahanan di beberapa sudut kawasan penjara ini. Semuanya menempatkan penghuni lelaki dari pelbagai lapisan umur dan bangsa.Bagi setiap blok akan dipagari dengan pagar yang setinggi hampir 60 meter sebanyak 3 atau empat lapis. Boleh kata mustahil bagi sesiapa untuk menerobos keluar dari penjara ini apabila seseorang itu telah memasukinya.
Selain dari blok-blok tahanan, terdapat juga 2 bangunan utama di tengah-tengah kawasan ini yang salah satunya menempatkan tahanan-tahanan yang baru pulang dari mahkamah. Mereka akan dikuarentin selama seminggu bagi memastikan mereka tidak membawa barang-barang yang diseludup ke dalam blok penempatan. Manakala satu lagi blok menempatkan tahanan- tahanan yang akan dibawa ke mahkamah keesokan harinya. Maka di blok kedua inilah kami ditempatkan kerana proses jaminan kami akan dilakukan keesokkan harinya di mahkamah.
Sementara kami dibawa ke penjara tempat kami akan dikurung, gayung mandian kami dikutip semula untuk beberapa ketika. Selang 10 minit kemudian, gayung tersebut dipulangkan semula.
?Ya Allah, ada nasi dalam gayung..?terkejut aku. Tak pernah dibuat orang makan nasi dalam gayung. Memang terkedu kami sebentar. Kami ingatkan gayung ini hanya untuk digunakan untuk mandi, rupanya gayung ini juga digunakan untuk makan. Cukup terasa hina.
Bayangkan keadaan sebegitu di dalam penjara. Pastinya kehidupan tidak semudah yang kita bayangkan.
Itu baru aku kisahkan mengenai gambaran suasana Penjara Sungai Buloh.
Yang pasti pengalaman hidup selama satu malam bersama mereka pasti akan membawa seribu satu pengalaman yang manis dan pahit untuk dikenang.
Lake County Investment Properties
10 years ago
No comments:
Post a Comment