Oleh: Mohd Izzuddin Hilmi*
Ingin benar saya kongsikan pengalaman sepanjang tempoh Allah menguji saya dengan ujian yang berat ini. Siapa sangka manusia yang bernama Izzuddin Hilmi ini ditakdirkan Allah untuk ?terpilih? mendekam di sebalik gerigi besi selama 6 malam di lokap polis Brickfield malah diberi kesempatan untuk menembusi tembok tinggi Penjara Sungai Buloh dan bermalam di sana bersama dengan seribu satu ragam banduan yang tidak pernah terfikir oleh saya untuk bersama mereka selama ini.
Bukanlah niat saya menulis untuk berbangga jauh sekali untuk membuatkan sesiapa yang membaca kagum dengan diri ini, akan tetapi apa yang ingin saya kongsikan sangat-sangat dengan yang lain sebahagian liku-liku kehidupan saya yang tersulam dalamnya perit jerih hidup sebagai tahanan malah tersisip juga di celahnya senyum tawa yang tidak seberapa.
Dan tatkala kedengaran selakan pintu besi berlaga dengan keras dan pintu gerigi besi dibuka, maka sedarlah diriku bahawa di dalam lokap ini bakal menjadi tmpat bermalamku selama beberapa hari ini. Hati aku resah melihat beberapa orang tahanan yang lain yang dalam ingatanku sekitar 11 orang semuanya menjeling ke arahku ketikaku masuk. Seorang cina tua (yang aku panggil Uncle Lim) melihat aku kehairanan dari satu sudut kecil di dalam lokap itu. Begitu juga 7 orang India dan 5 orang Melayu turut sama kelihatan di sana.
Aku tahu bahawa aku perlu melalui situasi ini kerana secara pasti aku sudah ada di sini.Aku juga mengetahui bahawa suasana di sebalik gerigi besi yang gelap ini menjanjikan suatu bentuk tekanan yang dasyat kepada setiap yang menghuninya.
Lokap yang terdiri dari 3 ruang utama yang dipisah dengan dinding batu, tandas yang sememangnya tidak berpintu, keadaan lokap suram dan hanya terdapat beberapa lubang kecil sebagai tempat pengaliran udara dan ketidakselesaan tidur beralaskan simen memang membuatkan hatiku resah dan fikiranku tertekan. Tidakku sangka di sini aku sekarang berada.
Perkara pertama yang aku lakukan apabila melangkah masuk ke sini ialah menunaikan solat fardhu Zohor, solat pertamaku sebagai seorang tahanan sememangnya meruntun jiwaku ini. di sebalik lubang udara itulah aku mengagak masuknya waktu solat.Yang ku harap hanya satu, semoga Allah kuatkan hatiku dan persiapkan diriku ini selama beberapa hari disini.
Hari pertamaku bermula dengan mengenali penghuni-penghuni di sini. Uncle Lim, seperti mana yang aku coretkan sebelum ini, tidakku sangka merupakan CEO sebuah syarikat besar di ibukota. Kesnya melibatkan penipuan berjuta-juta Ringgit duit syarikatnya, namun Uncle Lim menafikan tuduhan itu, sedangkan dia difitnah oleh adik iparnya sendiri katanya.
Osun A/L Kayan (orang Serawak) dan Malik Ridwan sepasang kawan baik. Baru berusia 19 tahun. Kes mereka mencuri RAM komputer yang nilainya tidak sampai seratus ringgit pun. Tetapi tuduhan yang dikenakan dibawah seksyen 308 (mencuri dalam Bangunan) dan boleh didenda sampai RM3000. Memang tidak berbaloi kes mereka.
Ada juga kes memiliki kereta curi. Nun, jauh di tahan di Bukit Kayu Hitam dan dihantar terus ke IPD Brickfield. Kes samun bersenjata pun ada. Ikut hukumannya, penjara hayat. Dari apa yang aku faham hukuman ini menyebabkan seseorang itu dipenjarakan sepanjang hayat mereka. Andai mereka mati di sana, barulah jenazah mereka berpeluang untuk dibawa ?keluar? dari penjara. Begitu juga dengan kes-kes lain yang sempat aku bertanya kepada penghuni di sini. Dan apabila aku renungi, aku rasakan memang Allah pilih aku untuk duduk bersama dengan mereka, menyelam dan memahami kisah hidup manusia yang jarang aku jumpa selama ini.
Dan tiba waktu makan, mungkin sekitar jam 6.30 petang, pintu lokap dibuka. Maka berebutlah setiap penghuni mengambil makanan yang ada. Nasi berlaukkan sayur taugeh dan sebiji telur, sebungkus kuah sup yang masin pengganti kicap dan air masak yang dibungkus dengan plastik menjadi hidangan kami malam ini. Dan malam pertama di sini kami habiskan dengan berkongsi kisah hidup masing-masing. Setiap suka-duka, kisah silam, dan tidak kurang juga penyesalan yang lahir tulus dari hati setiap mereka menjadi perkongsian kami.
Yang pastinya, aku merasakan yang sekarang ini Allah memperlihatkan kepadaku situasi sebenar masyarakat yang ada.
Lake County Investment Properties
10 years ago
No comments:
Post a Comment