Sunday, July 5, 2009

Melaka Tunggu Kelulusan Kementerian Bagi Projek Aerorail Bernilai RM1.8 Bilion

MELAKA, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Melaka masih menunggu kelulusan Kementerian Pengangkutan bagi melaksanakan sistem transit bandar, Aerorail, yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, bernilai RM1.8 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau difahamkan kementerian itu sedang mengkaji aspek teknikal dan ketahanan sistem berkenaan yang akan dilaksanakan menerusi pembiayaan pelaburan syarikat swasta.

"Projek ini dah disetujui dari segi dasar dan saya harap ia dapat diluluskan segera," katanya semasa menjawab soalan pemberita, di sini, Isnin.

Sistem aerorail di Melaka akan dibina, dikendali dan diuruskan oleh Pyramid Express Sdn Bhd manakala sokongan teknikal dan pengurusan projek akan disediakan oleh Pinggiran Pelangi Sdn Bhd, ejen tempatan Aerobus International dari Houston Amerika Syarikat.

Laluan yang dicadangkan bermula dari plaza tol Ayer Keroh dan melalui Zoo Melaka, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Melaka Mall, Hospital Melaka, Melaka Sentral, Hang Tuah Mall, Menara Jam dan berakhir di Mahkota Medical Centre di Bandar Hilir, merangkumi jarak sejauh 18.4 km.

Pengarah Urusan Pyramid Express Datuk Lim Sue Beng pada upacara pecah tanah projek itu di Lebuh Ayer Keroh pada 27 Feb lepas, dilaporkan berkata Aerorail akan dibina menerusi dua fasa dan kerja pembinaan akan bermula dalam tempoh enam bulan, dengan pelaburan modal RM586 juta manakala fasa kedua menelan kos RM807 juta.

Lim berkata fasa pertama merangkumi jarak sejauh 9.565 km yang termasuk pembinaan 10 stesen dan dalam fasa kedua, jarak sejauh 8.77 km dengan tambahan tiga stesen.

Menurut Mohd Ali, sistem Aerorail yang serupa kini dibina di Beijing yang pada awalnya dijangka siap menjelang Sukan Olimpik yang bermula Jumaat ini.

"Bagaimanapun, projek Aerorail di Beijing itu tertangguh dan hanya akan disiapkan tahun depan dan saya ada mencadangkan supaya pemaju (Pyramid Express) membuat kajian kesesuaian projek di Beijing dan di Melaka," katanya.

Mohd Ali berkata Aerorail akan menjadi rangsangan kepada Melaka kerana ia bukan sahaja mengurangkan kesesakan trafik dan pencemaran alam sekitar, malah menampung keperluan pelancong yang dijangka mencecah lapan juta rang menjelang 2010.-- BERNAMA















No comments: